12 PESANAN LUQMAN AL-HAKIM

Standard

Luqman al-Hakim adalah orang yang disebut dalam Al-Qur’an dalam surah Luqman [31]:12-19 yang terkenal kerana nasihat-nasihatnya kepada anaknya. Ibnu Katsir berpendapat bahwa nama panjang Luqman ialah Luqman bin Unaqa’ bin Sadun. Sedangkan asal usul Luqman, beberapa ulama berbeza pendapat. Ibnu Abbas menyatakan bahwa Luqman adalah seorang tukang kayu dari Habsyi. Riwayat lain menyebutkan ia bertubuh pendek dan berhidung mancung dari Nubah, dan ada yang berpendapat ia berasal dari Sudan. Dan ada pula yang berpendapat Luqman adalah seorang hakim pada zaman Nabi Daud.

 

Berikut adalah nasihat beliau kepada anaknya yang boleh menjadi pengajaran dan teladan untuk kita semua:

 

    1. Wahai anakku! Elakkan dirimu daripada berhutang kerana berhutang itu akan menjadikan dirimu dihina di waktu siang hari dan menjadikanmu gelisah di waktu malam hari.
    2. Wahai anakku! Sekiranya kedua ibu bapamu memarahimu kerana sesuatu kesalahan yang kamu lakukan, maka kemarahan mereka itu seperti baja yang menyuburkan tanaman.
    3. Wahai anakku! Engkau akan dapat merasakan betapa beratnya ketika mengangkat batu yang besar atau besi yang padat tetapi ada yang lebih berat daripada itu apabila kamu mempunyai jiran tetangga yang jahat.
    4. Wahai anakku! Tidaklah dinamakan kebaikan sekalipun kamu sibuk mencari dan mengumpul ilmu pengetahuan tetapi tidak pernah mengamalkannya. Perbuatan ini tidak ubah seperti seorang pencari kayu api yang sentiasa menambah timbunan kayunya sedangkan ia tidak mampu untuk mengankatnya.
    5. Wahai anakku! Berhati-hatilah terhadap tutur bicaramu dan sentiasalah bermanis muka nescaya kamu akan disenangi dan disukai oleh orang yang berada di sekelilingmu. Perumpamaannya seolah-olah mereka telah mendapat barang yang amat berharga daripadamu.
    6. Wahai anakku! Jika kamu mahu mencari sahabat sejati maka kamu ujilah ia terlebih dahulu dengan berpura-pura membuatkan ia marah terhadapmu. Sekiranya dalam kemarahan itu ia masih menasihati, menyedarkan dan menginsafkan kamu, dialah sahabat yang dicari. Jika berlaku sebaliknya, berwaspadalah kamu terhadapnya.
    7. Wahai anakku! Bila kamu mempunyai teman yang karib, jadikanlah dirimu sebagai seorang yang tidak mengharapkan sesuatu pun daripadanya sebaliknya biarlah temanmu itu sahaja yang mengharapkan sesuatu daripadamu.
    8. Wahai anakku! Jagalah dirimu selalu supaya tidak terlalu condong kepada dunia dan segala kesenangan dan kemewahannya kerana Allah tidak menciptakan kamu hanya untuk kehidupan di dunia. Ketahuilah tidak ada makhluk yang lebih hina selain daripada mereka yang telah diperdayakan oleh dunia.
    9. Wahai anakku! Bergaul dan berkawanlah dengan orang-orang yang soleh dan berilmu. Bukalah pintu hatimu dan dengarlah segala nasihat dan tunujuk ajar darinya. Sesungguhnya nasihat daripada mereka bagaikan mutiara hikmah yang bercahaya yang dapat menyuburkan hatimu seperti tanah kering lalu disirami air hujan.
    10. Wahai anakku! Bila kamu menerima dua undangan, satu majlis perkahwinan dan satu lagi majlis takziah kematian, maka utamakanlah majlis kematian kerana dengan menghadiri majlis ini akan mengingatkankan kamu kepada kampung akhirat, sedangkan dengan menghadiri majlis perkahwinan akan mengingatkan kamu kepada keseronokan dunia sahaja.
    11. Wahai anakku! Jangan kamu melantik seseorang yang bodoh menjadi utusanmu. Jika tiada siapa yang lebih cerdas, pintar dan bijak maka yang sebaliknya dirimu sendirilah yang menjadi utusan.
    12. Wahai anakku! Orang yang bersedia untuk mendengar nasihat dan bimbingan daripada orang lebih alim, maka dia layak untuk mendapat penjagaan daripada Allah tetapi bagi orang yang insaf dan sedar setelah menerima teguran maka dia layak untuk mendapat kemuliaan daripada Allah.

Sahabat sejati Islam20161002184642

Advertisements

CIRI-CIRI ILMU YANG BENAR

Standard

Ilmu yang benar akan menjadikan kita manusia yang bertakwa dan beriman kepada Allah SWT.

  1. Ilmu yang dapat memantapan iman
  2. Ilmu yang tidak membawa kepada kesesatan
  3. Ilmu yang membentuk akhlak dan sifat terpuji
  4. Ilmu yang dapat membangunkan kehidupan menusia seperti perubatan dan teknologi maklumat
  5. Ilmu yang boleh tingkatkan martabat umat Islam